Khamis, 15 April 2010

Asas Didikan Anak-Anak Siri 1

Pembaca yang dikasihi,

Anak-anak merupakan amanah Allah s.w.t kepada ibubapa. Anak-anak juga merupakan nikmat yang amat besar. Bayangkan bagaimana bersusah payahnya pasangan yang telah berkahwin 5 tahun, 10 tahun dan ada yang telah 20 atau 25 tahun bersusah payah berusaha untuk mendapatkan anak. Tatkala berjaya memperolehi anak, mereka merasakan teramat gembira hingga menitiskan air mata kegembiraan dan kesyukuran. Namun tak kurang bagi pasangan yang terlalu mudah memperolehi anak, nikmat tersebut tidak disyukuri bahkan dibiarkan dan diabaikan anak-anak ini tanpa didikan yang sepatutnya. Lahirlah anak-anak yang suka melepak, bebas membuat maksiat, menderhakai ibubapa dan menjadi penjenayah negara. Nauzubbillahi min zalik..

Rasulullah s.a.w ada berpesan dalam menunjukkan kaedah mendidik anak-anak sebagaimana hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a :

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah(bersih), kedua orang tuanyalah yang mencorakkannya menjadi seorang Yahudi,Nasrani mahupun Majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya".

Hadis ini jelas mengingatkan tanggungjawab ibubapa dalam mencorakkan fitrah seseorang anak yang baru lahir. Pastinya bayi yang baru lahir itu masih suci. Perumpamaan seekor binatang yang melahirkan anak di atas, menurut Imam Nawawi dalam Syarah Muslim ialah bagaimana seseorang anak yang dilahirkan adalah sempurna namun setelah masa berlalu kelihatan kecacatan seperti hidungnya terpotong. Siapakah yang bertanggungjawab di atas kecacatan tersebut? Bagaimanakah kecacatan tersebut boleh berlaku?

Orang yang paling hampir dan pertama bertemu dengan seorang bayi comel yang dilahirkan ialah ibu kemudian bapanya. Manusia yang paling hampir dan lebih lama masa bersama anak-anak ialah ibubapa. Justeru dibahu ibubapalah terpikul tanggungjawab yang hebat ini sebelum menyalahkan orang-orang lain disekitar anak-anak tersebut seperti rakan-rakan, guru, media, masyarakat dan sebagaimana.

Lantaran itulah apabila seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w " Ya Rasulullah, siapakah yang perlu ditaati di dunia ini?, jawab Rasulullah s.a.w " ibumu".Lelaki ini bertanya lagi, "kemudian siapa lagi", jawab rasulullah s.a.w ,"ibumu" Lelaki ini bertanya lagi, "kemudian siapa lagi?. Jawab Rasulullah s.a.w , "bapamu".  

Maka wahai ibu dan bapa, bagaimanakah kaedah  dan formula terbaik yang boleh kita gunakan dalam mendidik anak-anak agar kesempurnaan dan kesucian anak yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kita dikembalikan kembali kepadaNya dengan kesempurnaan juga bahkan dihiasi dengan perhiasan yang lebih cantik dan bau-bauan yang harum. Langkah terbaik yang boleh saya kongsikan di sini sebagaimana dipetik dari cara pendidikan Rasulullah s.a.w dan sirah sahabat serta ceramah-ceramah tuan-tuan guru alim yang pernah saya dengar ialah :

1) Menanamkan Aqidah yang mantap.

Aqidah yang mantap lahir dari rasa tauhid yang subur dalam jiwa seseorang muslim. Maka tatkala  lahirnya seorang bayi disunatkan agar bapa mengazan dan mengiqamatkan bayi tersebut. Tujuannya agar perkara utama tertanam di dalam jiwa anak ini ialah kalimah Tauhid iaitu Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.

Tauhid atau rasa bertuhan ini amat perlu sebagai benteng dan penyelamat seseorang muslim ketika diuji dengan pelbagai cabaraan dan godaan.Sama ada ujian dari godaan manusia yang munkar, syaitan dan nafsu diri sendiri. Ia umpama akar pohon. Jika akar itu kuat maka kuatlah pohon tersebut walaupun ditiup oleh angin kencang, ribut dan sebagainya ia tetap tidak rebah menyembah bumi.Apatah lagi jika akar itu mempunyai akar tunjang yang jauh ke dasar bumi dan akar-akar rerambutnya yang menjalar jauh ke kawasan lain, walaupun pohon tersebut ditebas atau ditebang, ia akan mentunaskan anak pohon yang baru.

Kepentingan aqidah ini diceritakan oleh Nabi Ibrahim dalam satu kisah dalam Surah Al-Baqarah ayat 133. Nabi Ibrahim setiap hari akan bertanya anak-anak dan kerabatnya satu persoalan. "Siapakah yang kamu sembah setelah ketiadaanku?". Setiap hari Nabi Ibrahim mempersoalkan anak dan keluarga baginda kerana ingin memastikan bahawa aqidah dan tauhid ahli keluarganya mantap, kukuh dan tidak goyah walaupun setelah kewafatan baginda nanti. Siapakah akan kamu sembah setelah ketiadaanku?

Dalam konteks sekarang adakah persoalan ini menjadi persoalan penting dalam diri ibubapa? Bahkan kini ibubapa lebih mementingkan "apa yang kamu akan makan nanti setelah ketiadaanku?", "di mana anak isteriku akan tinggal setelah ketiadaanku?", atau " esok anak isteriku nak makan apa?". Itulah persoalan pokok yang dirisaukan  oleh ibubapa kini. Oleh kerana itulah tidak mustahil anak-anak kini lebih bertuhankan pekerjaan, pangkat, harta dan kesenangan dunia daripada bertuhan kepada Allah s.w.t. Sehingga ada yang sanggup menggadaikan waktu solat demi mengejar masa untuk berkerja. Mengabaikan waktu menziarahi ibubapa dihujung minggu demi berkerja bahkan ada yang menggadaikan aqidah sanggup keluar dari Islam demi bertuhankan kepada cinta.

Bagaimanakah cara-cara untuk memastikan aqidah anak-anak kita mantap dan terpelihara? Diantara perkara yang perlu diperhatikan dan dijaga ialah :

a) Pemilihan sekolah yang betul yang tidak membawa kepada kerosakan aqidah seperti sekolah mubaligh . Penghantaran ke sekolah ini seolah-olah memberi tiket kepada agen-agen misionary mengkristian, menyahudi atau memajusikan anak-anak. Akan dicorakkanlah anak-anak ini dengan corak-corak yang bukan corak Islam. Lebih menyedihkan lagi bila anak-anak ini tidak dapat membezakan nilai Islam dan  bukan Islam.

b) Sentiasa menanam rasa bahawa Tuhan itu ada di mana-mana. Mengaitkan kehidupan dan tindak tanduk mereka dengan Allah seperti " Allah nampak kita", "Allah Taala lagi hebat", "Allah akan sayang adik kalau adik jadi anak yang baik".

c) Menceritakan azab neraka jika tidak mentaati suruhan dan larangan Allah s.w.t. Ceritakan bagaimana orang yang tidak solat dibakar di api neraka.Kaitkan azab dunia lagi bagi orang yang jahat seperti yang sering dipaparkan oleh media massa.

d) Mendidik anak-anak agar memulakan setiap perbuatan dengan nama Allah (bismillah). Ini menjadikan amalan mereka diberkati serta sebagai satu peringatan untuk tidak mengikuti perbuatan itu dengan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.

e) Menjaga dan melatih pemakaian yang baik serta menutup aurat bermula dari peringkat anak-anak mumaiyyiz (tahu atau kenal baik dan buruk).

f) Menjaga serta memastikan segala makanan yang diberi adalah bersih dan halal. Makanan yang halal akan memelihara kebersihan hati serta mudah menerima perkara-perkara baik dan tidak cenderung kepada perkara-perkara  buruk dan munkar.

Ingatlah serangan musuh-musuh Islam kini bukan sahaja berbentuk peperangan di medan perang bahkan yang paling menakutkan serangan dalam segenap penjuru yang begitu halus tetapi menyesakkan. Serangan untuk menghancurkan aqidah muda-mudi dan umat Islam kini banyak dilakukan melalui pendidikan, budaya pemakaian, budaya kerja, budaya sosial dan sebagainya. Hanya aqidah yang mantap sahaja mampu menyelamatkan anak-anak ini dari terpengaruh dengan budaya-budaya tersebut.


Sekian, wallahu a'lam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...