Keselamatan dan kesejahteraaan saya doakan buat pembaca-pembaca setia blog ini. Moga keselamatan dan kesejahteraan itu jua menjadi milik saya. Akhir-akhir ini saya banyak cuba mencari tazkirah dan muhasabah  diri ini ....Sebagai usaha menguatkan rohani saya maklumlah iman itu ada pasang surutnya. Jadi tatkala merasa diri lalai dan perlukan ketenangan dalam mengharungi ujian dan dugaan hidup ini, ruang-ruang muhasabah menjadi tatapan saya. 
Dalam leka memikir dan mengingati diri sendiri saya terjumpa satu artikel yang menarik untuk muhasabah khususnya kaum hawa. Saya agak tersentuh dengan muhasabah ini....saya petik dari genta-rasa. Sama-samalah kita cuba memikirkannya dan  merenungnya....
Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita?  Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui  pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah,  pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.
Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada  pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak  pada  hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan  sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain  penilaiannya.
Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.
Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah  kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung  tanah, budi baik di kenang juga.  Kecantikan akhlak ini juga adalah satu  yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah  akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya,  kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk,  pasti dia akan dibenci.
Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran.  Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan  budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang  jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur  itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap  tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye  of beholder’.
Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan  adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga,  perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah,  anak-anaknya tentu  mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.
Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para  isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan  keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik,  tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah…  mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.
Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya?  Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula  merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya,  wallahua’lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak  disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri.  Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda  manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang,  bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang  lumrah.
Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan  kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang  lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di  sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara,  rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.
Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang  salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga  yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula,  inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi  seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.
Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu  bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama,  tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu  yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih  sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan  perbuatan  yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.
Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang  baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan  Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah  akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik  sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa,  jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan  untuk mengumpat?
Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang  rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta  wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik”  tetap serupa!


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Hasiah
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.