Khamis, 16 Disember 2010

Iktibar Peristiwa Hijrah Siri-1

Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah buat semua pembaca budiman. Sempena sambutan maal hijrah yang baru berlalu pastinya semua masih merasai roh hijrah Rasulullah s.a.w.

Bersempena mengingati peristiwa tersebut, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua berkaitan perkara-perkara penting dalam peristiwa ini untuk kita sama-sama mengambil iktibar dalam meneruskan saki baki kehidupan yang entah bila akan sampai ke penghujungnya.

Sambutan Awal Muharram pada setiap tahun mengingatkan kita pada sirah Rasullullah s.w.t. melakukan penghijrahan ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Penghijrahan demi menegakkan agama Allah s.w.t dengan perintahNya telah menguatkan semangat golongan muhajirin meninggalkan semua yang ada demi Allah s.w.t.

Peristiwa hijrah ini merupakan satu peristiwa yang agung sehingga ia menjadi pilihan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a sebagai titik permulaan kalender Islam. Mungkin kita tertanya-tanya apakah kehebatan peristiwa ini sehingga terpilih sebagai peristiwa agong dalam sejarah Islam dan dipilih oleh Khulafa’ al-Rashidin ke-2 untuk diabadikan sebagai tahun pertama kalender hijrah.

Secara ringkasnya saya melihat peristiwa ini adalah satu peristiwa yang amat besar ujian dan dugaannya sehingga kejayaan hijrah ini menjadi faktor utama perkembangan Islam ke seluruh dunia. Namun dalam penulisan ini saya suka mengajak para pembaca sekalian untuk melihat aspek-aspek penting yang boleh dicontohi dari peristiwa ini seterusnya digarapkan dalam kehidupan seharian kita.

Pertamanya berkaitan tingkat kesabaran Rasulullah s.a.w dan para sahabat menerima perbagai ujian sehingga melibatkan penderitaan fizikal, emosi dan mental. Namun baginda dan sahabat bersabar dan bertahan sehingga 12 tahun di Mekah. Iktibarnya disini ialah kesabaran amat dituntut oleh Islam dalam kita menghadapi apa jua ujian dan cabaran hidup. Sama ada dalam belajar, berkerja, berdakwah, berumahtangga dan sebagainya sabar amat dituntut. Terdapat banyak perintah Allah di dalam Al-Quran yang menyuruh kita bersabar.



“Wahai sekalian orang-orang yang beriman sabarlah kamu sekalian dan teguhkanlah kesabaranmu itu.” (QS. Ali Imran:200)

“Sungguh akan Kami berikan cobaan kepada kamu sekalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS. Al Baqarah:155)

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahalanya tanpa batas.” (QS. Az Zumar:10)

“Mohon pertolonganlah kamu sekalian dengan sabar dan mengerjakan shalat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (QS. Al Baqarah:153)

“Sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu sekalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar di antara kamu sekalian.” (QS. Muhammad:31)

Manakala Rasulullah s.a.w juga ada menjelaskan dalam hadis baginda :

Dari Abu Malik Al Haris bin ‘Ashim Al Asy’ari ra berkata, Rasulullah saw bersabda: “Suci adalah sebagian dari iman, Alhamdulillah itu dapat memenuhi timbangan, Subhanallah dan Alhamdulillah itu dapat memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi, Shalat itu adalah cahaya, Shadaqah itu adalah bukti iman, sabar itu adalah pelita, dan Al Quran itu adalah hujjah (argumentasi) terhadap apa yang kamu sukai ataupun terhadap apa yang kamu tidak sukai. Semua orang pada waktu pagi menjual dirinya, ada yang membebaskan dirinya dan ada pula yang membinasakan dirinya.” (HR. Muslim)

Dari Abu Sa’id Sa’d bin Malik bin Sinan Al Khudry ra bahwasannya ada beberapa orang sahabat Anshar meminta kepada Nabi Muhammad saw maka beliau memberinya, kemudian mereka meminta lagi dan beliau pun memberinya sehingga habislah apa yang ada pada beliau. Ketika beliau memberikan semua apa yang ada di tangannya, beliau bersabda kepada mereka: “Apapun kebaikan yang ada padaku tidak akan aku sembunyikan pada kamu sekalian. Barangsiapa yang menjaga kehormatan dirinya maka Allah pun akan menjaganya. Barangsiapa yang menyabarkan dirinya maka Allah pun akan memberikan kesabaran padanya. Dan seseorang itu tidak akan mendapatkan anugerah yang lebih baik atau lebih lapang melebihi kesabaran.” (HR. Bukhari Muslim)

Nabi Muhammad saw bersabda, “Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; karena segala urusannya sangat baik baginya dan ini tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman dimana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang semikian itu sangat baik baginya.” (HR. Muslim)

Dari Anas ra berkata, saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah swt berfirman: “Apabila Aku menguji salah seorang hambaKu dengan buta kedua matanya kemudian ia sabar maka Aku akan menggantikannya dengan sorga.” (HR. Bukhari)

Namun dalam bersabar itu ikhtiar dan usaha untuk menyelesaikan ujian dan cabaran tersebut perlu difikirkan agar kita sentiasa optimis dalam berdepan dengan apa jua ujian hidup. Banyak situasi para pelajar yang tidak kuat apabila diuji dengan kesusahan ketika belajar sama ada masalah sukar untuk memahami pembelajaran, masalah kewangan, kawan-kawan dan sebagainya. Tanpa sabar dan ikhtiar, pelajar-pelajar akan mudah putus asa sehingga membawa kepada kegagalan dalam peperiksaan atau menarik diri dari pengajian.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Sungguh berbahagialah orang yang sabar dan mahu memaafkan, karena perbuatan semacam itu termasuk perbuatan-perbuatan yang sangat utama.” ( As Syura:43)

Dalam konteks pekerjaan pula, kita mungkin sering diuji dengan tugasan yang berat, banyak, sikap-sikap mazmumah rakan sekerja, birokrasi yang melampau dan sebagainya. Semua ini perlu dihadapi dengan sabar dan optimis bersama ikhtiar dan usaha yang di atur bagi menyelesaikan atau mengurangkan masalah tersebut. Strategi perlu di atur agar suasana tempat kerja dapat diubah kepada persekitaran yang kondusif dan menyeronokkan. Sekiranya ujian-ujian tersebut dihadapi secara negatif kita akan berdepan dengan kebuntuan dan seterusnya mengakibatkan perkara-perkara yang tidak baik seperti kemalasan, kelesuan berkerja, suka bertukar tempat kerja dan sebagainya.

Walaubagaimanapun dalam kesabaran peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w ini mengajar kita bahawa sekiranya pelbagai usaha dan strategi telah dilakukan, masih berlaku kebuntuan atau tidak jua memperolehi jalan penyelesaian, kita dianjurkan untuk berhijrah. Tempoh 12 tahun Rasulullah s.a.w di Mekah jelas menunjukkan bahawa sabar dalam menempuh ujian bukanlah suatu kesabaran yang sedikit bahkan perlu dihadapi dengan penuh ketabahan dan ikhtiar yang perbagai. Setelah segalanya tiada penyelesaian berhijrahlah samaada hijrah sikap kita ataupun hijrah ke tempat yang lebih sesuai dengan matlamat dan kehendak kita. Semoga dengan hijrah kerana Allah s.w.t dapat memberi lebih kejayaan untuk kita dan agama. Bertemu pada episod seterusnya untuk iktibar yang seterusnya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...