Khamis, 29 April 2010

Asas Didikan Anak-Anak Siri 2

Pada siri ini saya ingin berkongsi bagaimana asas didikan anak-anak yang dilakukan oleh Luqman al-Hakim. Dalam Al-Quran Allah s.w.t ada menjelaskan Surah Luqman ayat 11 yang bermaksud :

"Wahai anakku janganlah kamu mensyirikkan Allah"... 


Pesanan ini merupakan peringatan pertama Luqman terhadap anak dan keluarganya. Ini menunjukkan perkara keimanan dan ketauhidan terhadap Allah s.w.t adalah perkara asas ,utama dan pertama yang perlu diberi penekanan oleh manusia khususnya ibu dan ayah dalam mendidik anak-anak. Keimanan yang mantap akan menghasilkan rasa bertuhan di dalam diri anak-anak. Natijahnya anak-anak terdorong melaksanakan suruhan Allah s.w.t tanpa dipaksa atau terpaksa. Anak-anak akan terdorong meninggalkan segala larangan Allah s.w.t tanpa perlu ditegah bahkan ditinggalkan atas kerelaan diri , kesedaran akan dosa serta rasa malu kepada Allah.


Berbeza keadaannya bagi anak-anak yang tidak dididik dengan rasa bertuhan. Tiada rasa tauhid yang kuat dan mantap dalam diri. Anak-anak ini mudah terlupa dan malu untuk mengamalkan segala suruhan Allah s.w.t. Disuruh solat "malu", disuruh baca al-Quran "malas", disuruh ke masjid " banyak kerja lain", disuruh tutup aurat " tak moden". Seribu satu alasan dilontarkan bila tiada rasa Tuhan itu ada dan tiada keyakinan terhadap pembalasan Allah s.w.t. Lebih menyedihkan anak-anak ini  setelah dewasa,berkerjaya mementingkan kerjaya, wang dan hiburan dari ibadat serta suruhan Allah. Tidak mustahil ada yang berkerja tanpa mendirikan solat.Ada yang tidak berpuasa. Ada yang mengamalkan judi, rasuah dan sebagainya.


Oleh kerana itulah Allah s.w.t ada menyebut di dalam Al-Quran Surah At-Tahrim :6 yang bermaksud :


"Selamatkanlah dirimu dan ahli keluargamu dari azab neraka"

Proses menyelamat ini telah dihuraikan oleh Saidina Ali bin Abi Talib k.w.sebagai suatu proses mendidik. Mendidik tidak berhasil jika dilakukan dengan tergesa-gesa dengan mengharapkan natijah segera dalam tempoh yang singkat.. Tetapi memerlukan proses yang panjang bermula dari anak dari kandungan . Dalam kandungan anak-anak telah didik untuk mendengar kalimah-kalimah Allah melalui suara ibu dan amalan ibu. Ibu pula diawal kehamilan telah menanamkan rasa redha dengan pemberian anak tersebut sebagai suatu anugerah yang amat besar. Membelai anak ini dengan zikrullah, alunan ayat-ayat al-Quran dan makanan yang halal.  Menjauhi dari melakukan maksiat seperti mengumpat, meninggalkan solat, memdedahkan aurat dan sebagainya. Segala amalan ibu akan diwarisi oleh bayi dalam kandungan sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Ghazali: 
Seorang anak mewarisi amalan dan tabiat ibubapanya sepuluh tahu sebelum janin tersebut wujud

 Ini menunjukkan proses mendidik sebenarnya bermula sejak awal lagi. Contohnya Suzi disahkan hamil pada bulan januari 2010. Ketika itu umur Suzi 25 tahun. Proses didikan ke atas anak yang dikandungkannya secara zahirnya telah bermula ketika itu, tetapi didikan batin anak ini telah mewarisi tindak tanduk Suzi  dari apa yang dilakukan sejak umur Suzi 15 tahun lagi. 

Sehinggalah saat kelahiran anak tersebut disunatkan azan ditelinga kanannya dan di iqamatkan ditelingga kirinya.Ini adalah proses awal agar kalimah pertama yang didengar ialah nama Allah dan berulang bagi menguatkan ingatan dan juga sebagai tazkirah berterusan bahawa Allah itu ada.

Seterusnya sehinggalah anak ini berumur 7 tahun di latih solat. Jika tidak ketika 10 tahun harus di rotan dan jika ingkar lagi perlu dipisahkan. Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis baginda yang bermaksud :

"Perintahkanlah anak-anakmu solat ketika berumur 7 tahun, dan jika mereka meninggalkannya ketika berumur 10 tahun, pukullah dan jika meninggalkannya juga maka pisahkanlah mereka".

Setelah anak-anak ini meningkat remaja, ketika ini langkah mereka semakin jauh. Gerakan mereka sukar dijangka. Ketika ini perlu pendekatan yang lebih bijak. Pendekatan terbaik ialah sebagai "rakan". Tidak berkasar tetapi TEGAS. Ketika ini penjelasan yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram itu perlu ditekankan. Ini kerana setiap amal walau sebesar zarah sekalipun tetap dibalas oleh Allah s.w.t  sebagaimana disebut dalam Surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:

"Barang siapa yang berbuat kebaikan walau sebesar zarah tetap dibalas dengan kebaikan dan barangsiapa berbuat kejahatan walaupun sebesar zarah tetap dibalas dengan kebaikan"

Kenapa tauhid ini teramat penting dimantapkan dalam diri anak-anak ? Terdapat beberapa sebab yang mana saya dapat simpulkan kepada empat :
1. Agar anak yang dilahirkan, yang dibelai dan yang dididik bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik tetapi menjadi ANAK YANG BENAR. Maksudnya di sini ialah anak yang tahu meletakkan sesuatu itu ditempatnya, tahu halal haram, tahu baik buruk dan tidak berdusta dalam setiap tindakan mahupun percakapan. Apa yang dilahirkan tulus dari hati yang terbimbing oleh kesedaran dari wahyu Allah. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana ramai anak yang berjaya berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi tetapi ilmunya menjadikan anak ini lebih jauh dari Allah s.w.t .Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w :

"Barangsiapa yang ditambahkan ilmu tetapi tanpa hidayah, tidak dilimpahkan oleh Allah s.w.t keatasnya melainkan kemurkaan Allah"

Oleh sebab itulah ramai yang berkelulusan tinggi, menjawat jawatan tinggi dan memperolehi pencapaian yang cemerlang tetapi gagal dalam hidupnya dengan menyalurkan ilmu dan kepakaran kelembah maksiat dan kehinaan. Mempunyai wang yang melimpah ruah tetapi menggunakannya untuk membeli manusia bagi memuaskan hawa nafsu kebinatangannya. Memperolehi pangkat dan menggunakannya untuk kepentingan anak dan keluarga sehingga berlaku penindasan dan kezaliman. Mempunyai kepakaran bidang komputer tetapi merosakkan sistem komputer orang lain, mencipta virus, membuat laman web prono dan sebagainya. Inilah dinamakan ilmu itu boleh lebih menyesatkan tanpa iman dan hidayah dari Allah s.w.t.
2. Bagi melahirkan anak-anak yang mempunyai disiplin diri yang kuat bahawa setiap amalan ada balasan dan ganjarannya. Ini dinamakan ihsan. Anak-anak ini akan sentiasa merasakan Allah s.w.t ada di mana-mana menyayangi mereka bila melakukan ibadat dan murka jika mereka melakukan maksiat atau kelalaian. Dengan itu segala tindakan mereka akan dipastikan sendiri oleh diri mereka baik atau tidak , mengikut suruhan Allah atau sebaliknya.

3. Melahirkan anak-anak yang boleh mengendalikan hawa nafsu serta menyalurkannya ke arah kebaikan. Jika marah mereka akan berusaha menahan dan mengawal amarah tersebut. Jika tinggi nafsu seksualnnya akan mengawal dengan cara berpuasa atau berkahwin. Jika timbul nafsu suka membazir sentiasa boleh mengingatkan diri sendiri bahawa ramai lagi orang miskin yang amat memerlukan wang. Maka akan lahir insan yang perihatin, wasatiah( bersederhana) dan suka membantu orang lain.
4. Melahirkan insan yang sabar dan utuh semangat jihadnya. Iaitu insan yang tidak mudah goyah ditimpa musibah dan tidak terlalu gembira dengan kemewahan dan kegembiraan. Bahkan harta yang melimpah tidak terkesan di hati. Hanya berada di tangan untuk di salurkan kepada hak orang lain yang lebih memerlukan. Tiada timbul rasa bongkak, sombong dan iri hati dengan kekayaan orang lain. Bahkan sentiasa bersyukur zahiriah dan batiniah. Dugaan dianggap peningkatan iman, namun jihad  terus membara umpama singa takala hak dan kebenaran dirosakkan.
bersambung di siri seterusnya... :)





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...