Khamis, 27 Mei 2010

5 Perkara Yang Perlu Disegerakan

 Mati itu pasti.....
Pepatah ada menyatakan :
Sikap berhati-hati akan membawa keselamatan manakala sikap terburu-buru biasanya akan membawa penyesalan".

Dalam kehidupan seharian kita tidak dapat lari dari berdepan dengan pelbagai situasi yang memerlukan kepada tindakan sama ada segera atau tidak. Namun Islam mengajar kita agar berhati-hati dan tidak terburu-buru dalam melakukan tindakan agar kita tidak menyesal dikemudian hari. Sikap bertenang dan mempertimbangkan dengan baik serta meminta pertunjuk dari Allah s.w.t adalah jalan terbaik yang di ajar oleh Islam. 

Walaubagaimanapun ada 5 perkara yang perlu dilakukan tindakan segera yang telah digariskan oleh Islam.Lima perkara tersebut ialah :

1) Mengkubur jenazah.
    Bilamana berlaku kematian, Islam menetapkan agar jenazah dapat diuruskan dengan segera. Sebaik-baik tempat  pengkebumian ialah di tempat berakhirnya nafas si mati. Ini berpanduakan contoh dari kewafatan Rasulullah s.a.w di mana Rasulullah s.a.w walaupun di lahirkan di Mekah tetapi dikebumikan di Madinah tempat baginda menghembuskan nafas terakhir.

2) Mengahwini anak perempuan.
    Menjaga anak perempuan bukanlah suatu tugas yang mudah. Pepatah ada mengatakan "menjaga anak perempuan sama seperti menjaga seratus ekor anak kambing". Pepatah ini menunjukkan bertapa sukarnya ingin menjaga anak-anak perempuan yang mudah terdedah kepada kerosakan dan bahaya. Oleh kerana itulah anak perempuan perlu dikahwini segera setelah cukup baligh dan mempunya calon yang sesuai serta beriman. Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pahang ada menetapkan bahawa umur minimum untuk berkahwin bagi anak perempuan ialah 16 tahun.

3) Membayar hutang Kewajipan membayar hutang tidak akan terlepas selagi  penghutang tidak menjelaskan keseluruhan hutangnya walaupun telah melakukan pelbagai ibadah besar yang lain. Kecuali di halalkan oleh pemberi hutang.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud :

”Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Dan dalam hadith yang lain daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang maksudnya :  

“Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham”.
   
Oleh yang demikian bersegeralah membayar hutang apabila mampu agar memudahkan perjalanan roh kita bertemu Allah s.w.t setelah kematian kita nanti.

4) Menghidangkan makanan kepada tetamu yang musafir.
    Dalam kehidupan kita sering menerima tetamu-tetamu sama ada di rumah mahupun di tempat kerja. Bagi tetamu yang dalam perjalanan ke tempat lain (musafir) perlu disegerakan menghidangkan hidangan. Musafir yang menjadi tetamu kita biasanya lebih keletihan dan mungkin juga kelaparan. Oleh itu menyegerakan hidangan dapat memberi kegembiraan kepada tetamu selain memuliakan mereka.

5) Bertaubat apabila berdosa.
    Imam Al-Ghazali ada menyatakan : "Seorang mukmin umpama cermin , manakala dosa-doasa yang dilakukan umpama debu-debu. Jika debu yang bertempel tidak dibersihkan segera maka debu itu akan mengotorkan cermin. Semakin banyak debu semakin kotorlah cermin dan boleh menyebabkan karat. Karat debu akan menyukarkan lagi proses pembersihan cermin tersebut"

Oleh itu setiap kali berdosa dan melakukan maksiat bersegeralah bertaubat agar cermin tidak kotor dan sentiasa cantik bersinar. Jika kita melewatkan taubat, bimbang-bimbang kita tidak sempat bertaubat apabila ajal menjengah kita.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...