Selasa, 1 Februari 2011

Iktibar Hijrah Siri-2

Sidang pembaca dan rakan-rakan blog yang dikasiihi,

Seterusnya kita menyambung perbahasan disebalik peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w bagi mengadabtasikannya dan menterjemahkannya ke dalam diri kita. Perkara kedua yang menarik perhatian saya untuk dikongsikan di sini ialah stategi yang disusun oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam menjayakan penghijrahan baginda.


Pepatah inggeris ada menyebut : If you fail to plan you plan to fail.


Semangat sahaja yang berkobar-kobar tanpa perancangan yang baik dan tersusun hajat untuk berhijrah ke tahap yang lebih baik akhirnya akan kecundang dek ujian yang menanti disepanjang jalan penghijrahan tersebut.

Dalam ilmu pengurusan juga kita di ajar agar sesuatu pelancangan  (planning) perlu ada plan A dan B. Perlu juga dalam perancangan tersebut 'Analisis SWOT' bagi memastikan perancangan yang dibuat memenuhi segala keperluan dan mengambilkira kelebihan serta kelemahan yang ada. Kehebatan perancangan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa hijrah dapat dilihat bagaimana hebatnya perancangan baginda sehingga detik baginda dan Saidina Abu Bakar berjalan keluar dari bumi Mekah tanpa sedikitpun disedari oleh masyarakat kafir Quraisy. Kenapa Rasulullah s.a.w membawa Saidina Abu Bakar dan meninggalkan Saidina Ali di tempat tidur baginda adalah perlu kepada pengkajian yang lebih mendalam. Namun itulah kehebatan perancangan Rasulullah s.a.w.


Oleh sebab itulah sebagai suami, isteri, anak, pelajar dan sebagaikan kita perlu merancang dengan strategi-strategi yang mantap agar hala tuju dan apa yang di cita-citakan menjadi realiti. Sebagai contoh sepasang suami isteri yang mengimpikan anak sebagai penyeri di rumahtangganya. Perlu kepada perancangan untuk bila perlu ada anak agar keberadaan anak tersebut amat dihargai, dinanti-nantikan dan persiapan dapat dibuat dengan baik. Berbeza bagi ibubapa yang tidak membuat strategi untuk mendapatkan anak, apa yang berlaku mungkin anak tidak langsung diperolehi dan mungkin juga saat pasangan tersebut masih ingin berseronok dan tidak bersedia untuk memperolehi anak mereka dibebankan dengan anak pada setiap tahun. Kesannya mereka tidak dapat menjalankan tugas sebagai ibubapa dengan baik, anak-anak terabai, tidak terdidik serta akhirnya memberi masalah kepada masyarakat dengan terlibat dalam gejala sosial.


Ketiga yang boleh diambil iktibar ialah  kepatuhan kepada pimpinan yang akhirnya menjayakan sesuatu perancangan yang telah dibuat.Sebagaimana dilihat kepatuhan Saidina Ali menggantikan baginda di tempat tidur walaupun nyawa sebagai taruhan. Itulah berkat wala' yang telah diberi maka pertolongan Allah s.w.t menjayakan hasrat tersebut. Walaupun hakikatnya itulah perancangan Allah s.w.t.

Keempat ialah semangat ukhwah islamiyyah yang ikhlas kerana Allah s.w.t yang akhirnya melibatkan bantuan dari para sahabat terhampir, ahli keluarga dan golongan ansar. Pengorbanan dan pertolongan yang ikhlas atas dasar semangat persaudaraan berlandaskan agama telah meletakkan mereka sanggup berkorban sehingga nyawa tanpa mengharapkan apa-apa balasan duniawi. Adakah semangat ini masih wujud hingga ke hari ini? Apa yang ada hanyalah teamwork yang mungkin tahap ikhlasnya agak kurang. Tetapi inilah yang perlu dibangunkan balik demi kejayaan sesebuah perancangan dan cita-cita.


Demikianlah beberapa iktibar yang boleh diambil walaupun sebenarnya banyak lagi perkara menarik yang boleh dirungkai  dari peristiwa hijrah ini. 


Saya memohon maaf bagi sahabat blog yang amat perihatin dan terus menunggu-nunggu blog ini dikemaskini. Hambatan tugas dan tanggungjawab yang tidak cukup dengan keupayaan yang ada menyebabkan saya perlu mendahulukan apa yang lebih penting dari pelbagai perkara penting yang lain. Doakanlah agar dilapangkan masa saya bagi meneruskan dakwah dan perkongsian ilmu di blog ini. 


Wallahu Taala A'lam.

Khamis, 16 Disember 2010

Iktibar Peristiwa Hijrah Siri-1

Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah buat semua pembaca budiman. Sempena sambutan maal hijrah yang baru berlalu pastinya semua masih merasai roh hijrah Rasulullah s.a.w.

Bersempena mengingati peristiwa tersebut, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua berkaitan perkara-perkara penting dalam peristiwa ini untuk kita sama-sama mengambil iktibar dalam meneruskan saki baki kehidupan yang entah bila akan sampai ke penghujungnya.

Sambutan Awal Muharram pada setiap tahun mengingatkan kita pada sirah Rasullullah s.w.t. melakukan penghijrahan ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Penghijrahan demi menegakkan agama Allah s.w.t dengan perintahNya telah menguatkan semangat golongan muhajirin meninggalkan semua yang ada demi Allah s.w.t.

Peristiwa hijrah ini merupakan satu peristiwa yang agung sehingga ia menjadi pilihan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a sebagai titik permulaan kalender Islam. Mungkin kita tertanya-tanya apakah kehebatan peristiwa ini sehingga terpilih sebagai peristiwa agong dalam sejarah Islam dan dipilih oleh Khulafa’ al-Rashidin ke-2 untuk diabadikan sebagai tahun pertama kalender hijrah.

Secara ringkasnya saya melihat peristiwa ini adalah satu peristiwa yang amat besar ujian dan dugaannya sehingga kejayaan hijrah ini menjadi faktor utama perkembangan Islam ke seluruh dunia. Namun dalam penulisan ini saya suka mengajak para pembaca sekalian untuk melihat aspek-aspek penting yang boleh dicontohi dari peristiwa ini seterusnya digarapkan dalam kehidupan seharian kita.

Pertamanya berkaitan tingkat kesabaran Rasulullah s.a.w dan para sahabat menerima perbagai ujian sehingga melibatkan penderitaan fizikal, emosi dan mental. Namun baginda dan sahabat bersabar dan bertahan sehingga 12 tahun di Mekah. Iktibarnya disini ialah kesabaran amat dituntut oleh Islam dalam kita menghadapi apa jua ujian dan cabaran hidup. Sama ada dalam belajar, berkerja, berdakwah, berumahtangga dan sebagainya sabar amat dituntut. Terdapat banyak perintah Allah di dalam Al-Quran yang menyuruh kita bersabar.

Sabtu, 13 November 2010

Dimana Sebenarnya Kecantikan Wanita

Keselamatan dan kesejahteraaan saya doakan buat pembaca-pembaca setia blog ini. Moga keselamatan dan kesejahteraan itu jua menjadi milik saya. Akhir-akhir ini saya banyak cuba mencari tazkirah dan muhasabah  diri ini ....Sebagai usaha menguatkan rohani saya maklumlah iman itu ada pasang surutnya. Jadi tatkala merasa diri lalai dan perlukan ketenangan dalam mengharungi ujian dan dugaan hidup ini, ruang-ruang muhasabah menjadi tatapan saya. 

Dalam leka memikir dan mengingati diri sendiri saya terjumpa satu artikel yang menarik untuk muhasabah khususnya kaum hawa. Saya agak tersentuh dengan muhasabah ini....saya petik dari genta-rasa. Sama-samalah kita cuba memikirkannya dan  merenungnya....

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Jumaat, 5 November 2010

Ibadat Korban di AidilAdha

Kambing tersenyum sebelum dikorbankan...tuan kambing ni mesti sayang giler ke kambing ni...
Para pembaca yang dirahmati Allah s.w.t sekalian, tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun hijrah umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Bersempena sambutan tersebut kita disunatkan menyembelih binatang korban bagi mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s ke atas anakanda baginda Nabi Ismail  a.s. Ia juga sebagai menghidupkan syari’ah Nabi Allah Ibrahim a.s , yang kemudiannya disyari’ahkan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w.

Firman Allah s.w.t  dalam Surah al-Haj ayat 36 yang bermaksud : “ Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi’ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah mati, maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang tidak meminta-minta dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur”.(Surah al-Haj:36)

Penyembelihan sedang dilakukan.
Perlaksanaan ibadat korban bagi setiap muslim adalah merupakan sunat muakkad (sunat yang dituntut) bagi mereka yang memenuhi empat syarat iaitu Islam, merdeka, baligh lagi berakal dan berkemampuan untuk berkorban. Walaubagaimanapun bagi yang bernazar hukum penyembelihan korban tersebut menjadi wajib. Waktu penyembelihan yang disyariatkan setelah terbit matahari pada Hari Raya Haji dan sesudah kadar selesai solat ‘Id dan khutbah pendek. Tetapi afdhalnya ketika matahari naik segalah pada Hari Raya Haji sehingga 13 Zulhijjah.

Binatang yang hendak dikorbankan pula hendaklah dari jenis unta, lembu atau kerbau, kambing biasa yang telah berumur dua tahun, dan biri-biri yang telah berumur satu tahun atau telah gugur giginya setelah berumur enam bulan mestipun ianya belum cukup satu tahun. Binatang tersebut disyaratkan tidak cacat, buta, terlalu kurus, tidak mengandung atau baru melahirkan anak dan tidak berpenyakit sehingga keelokkan keadaan binatang tersebut melahirkan  rasa sayang kita kepadanya.

Proses melapah daging setelah selesai disembelih.
Setelah binatang selesai dikorbankan pembahagian daging korban sunat terbahagi kepada tiga cara yang utama mengikut urutan berikut :

a)      Lebih afdhal orang yang berkorban mengambil hati dan baki seluruh dagingnya disedekahkan.
b)      Orang berkorban mengambil satu pertiga manakala baki dua pertiga lagi disedekahkan.
c)      Orang yang berkorban mengambil satu pertiga dari daging, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satupertiga lagi dihadiahkan kepada orang-orang yang mampu.

Semoga dengan ibadat korban kita pada tahun ini mendekatkan lagi diri kita dengan Pencipta kita dan
sebagai tanda bersyukur akan segala nikmat yang dikurniakan olehNya. Moga-moga rezeki dan nikmat
tersebut berkat dan dilipat gandakan oleh Allah s.w.t.



Rujukan : Safwan Fathy ( 2000). Siri Bimbingan Mukmin: Amalan Penting Dalam Islam. Shah Alam: Warisan al-Fathy Sdn. Bhd.

Isnin, 1 November 2010

Aishah & Anugerah Bacalah Anakku

Semalam puteri ke-2 saya ada konvokesyen. Dia baru 5 tahun. Just pergi untuk persembahan tarian dan dapat satu anugerah sebab dah pandai membaca...


Aishah dan walidnya.

Kenangan di Konvokesyen KIPSAS Ke-9

Inilah yang dapat diabadikan kenangan di hari Konvokesyen KIPSAS ke-9.

Tuanku Sultan Pahang sedang memotong pulut kuning sempena keputeraan baginda ke-80. Gambar di ambil diruangan Santapan Tuanku
Tuanku bersama Sultanah Cik Puan Kalsom dan dayang-dayang pengiring dari siswi KIPSAS




Penat kerja tapi sempat posing dengan Timbalan Ketua JKK Santapan & Jamuan Konvo Ke-9. Masih tersenyum..

Twin anak En wan Emril dan Teha..Suka tengok budak twin....

Baby yus sempat posing juga malam sebelum konvo hari ke-2


Bersama Siswi Anugerah Presiden. Nadiah. Dia nak ambil gambar dengan saya katanya orang kata muka kami serupa....sama tak?? macam tak sama ajer..spek mata ajer sama...he..he..



Keutamaan Ibadat Haji

Sedar tidak sedar, kita kini telah berada di bulan-bulan haji iaitu Bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Pastinya kini kita merasai bahang ibadat haji terutamanya bagi yang berkemampuan dan direzekikan oleh Allah untuk melaksanakan ibadat tersebut pada tahun ini. Namun bagi yang belum diizinkan oleh Allah mengerjakan ibadat tersebut, mungkin kita hanya tumpang seronok melihat dan menghantar saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga ke Tanah Suci tersebut.

Pada artikel kali ini saya suka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat blog ini tentang keutamaan ibadat haji agar kita lebih bersemangat dan berazam untuk melaksanakan ibadat tersebut pada tahun-tahun akan datang secepat yang boleh. Jika diizinkan oleh Allah.

Antara kelebiihan dan keutamaan ibadat haji ini ialah

i) Ia merupakan jenis ibadat yang menggabungkan dua jenis ibadat iaiatu ibadat jasadiyah dan maliyyyah. Ini kerana haji dan begitu juga umrah memerlukan kombinasi dua keupayaan manuusia iaitu keupayaan dari sudut tubuh badan dan keupayaan harta. Berbeza dengan ibadat yang lain dalam rukun Islam kita seperti puasa dan solat hanya dalam kategori ibadat jasadiyyah. Manakala zakat pula adalah ibadat maliyyah.

ii) Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan beberapa hadis yang memperlihatkan keutamaan dan kelebihan ibadat haji ini seperti :

Nabi ditanya perbuatan apa yang paling utama? Beliau menjawab: Beriman kepada Allah dan RasulNya, Ditanya lagi: "kemudian setelah itu?" Beliau menjawab: "Jihad di jalan Allah", Ditanya lagi," kemudian setelah itu?" Beliau menjawab: "Haji yang mabrur". (HR Bukhari Fathul Bari 4/157).

“Barangsiapa yang melaksanakan haji lalu ia tidak rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh) dan tidak berbuat fasiq, maka ia kembali seperti saat dilahirkan ibunya (tidak punya dosa) (HR. Bukhari 1691)


“Satu umrah keumrah lain adalah panghapus (dosa-dosa) antara keduanya, sedangkan haji yang mabrur tiada balasan lain, melainkan surga. Bukhori 1650 muslim 2403 tirmidzi 855 nasai 2575 ibn majah 2879 ahmad 7050(HR. Al Jama’ah kecuali Abu Daud_Nailul Authar 3/1361).

Demikianlah kelebihan dan keutamaan ibadat haji yang amat besar ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Maka marilah kita bersama-sama berazam bagi melaksanakan ibadat tersebut dengan limpah kemampuan yang diberi dan akan diberikan oleh Allah agar beroleh haji yang mabrur.

Isnin, 11 Oktober 2010

Cadangan Akta Jenayah Sihir

Pagi tadi saya berpeluang mengikuti Seminar Akta Jenayah Sihir, Isu dan Cabarannya. Dirasmikan oleh Y.A Dato' Abdul Rahman Yunus, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Seminar di adakan di Yayasan Pahang bermula jam 8.30 pagi- 1.00 tgh hari.

Bagus cadangan Dr Muhyiddin untuk melaksanakan Akta Jenayah Sihir. Cuma dari segi evidance ( pembuktian) agak sukar nak menang. Peguam yang membawa kes-kes begini juga berisiko tinggi. Tak tunggu bawa kes sihir, sekarang ini pun bawa kes poligami, perceraian, hadanah dan fasakh pun dah macam-macam rasa bila masuk mahkamah. Sampai pernah salah seorang hakim jadi gelap tidak nampak apa-apa ketika nak putuskan kes di Pahang. Tak perlu nak diceritakan Mahkamah mana. Ini menunjukkan masyarakat melayu kuat benar mengamalkan perkara yang syirik ini.


Selain beban pembuktian, untuk mengubal akta ini mungkin akan berlaku perebutan antara untuk digubal peringkat nasional atau negeri. Ini kerana kesalahan berhubung dengan agama Islam seperti pengamalan amalan sesat seperti sihit, khurafat dan lain-lain adalah terletak di bidang kuasa negeri.


Apapun tahniah buat Dr Mahyuddin kerana dapat siapkan PhD dalam bidang pengkajian yang bombastik..Memukaukan minda. Semoga usaha disertai dengan bantuan Allah s.w.t.

Khamis, 7 Oktober 2010

WANG CARUMAN KWSP BUKAN HARTA SEPENCARIAN

Perpisahan diantara pasangan suami isteri sama ada secara perceraian hidup atau perceraian mati memberi hak diantara pihak suami atau isteri untuk melakukan tuntutan harta sepencarian.

Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005, “harta sepencarian” ditakrifkan sebagai harta yang diperolehi bersama suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Ini bermaksud semua harta berupa wang, harta alih dan harta bukan alih yang diperolehi selama tempoh perkahwinan adalah termasuk harta sepencarian.

Dalam pengamalan di Mahkamah Syariah, bagi tuntutan harta sepencarian pihak menuntut perlu membuktikan bahawa harta tersebut adalah harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan masih berlaku. Namun mungkin kita tertanya-tanya, adakah wang caruman KWSP pasangan kita termasuk dalam harta sepencarian atau tidak.

Merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-49 pada 10 September 2000 menjelaskan bahawa :

Khamis, 30 September 2010

Puasa Enam dan Puasa Qadha: Boleh Gabung Tak?

Sebulan berpuasa dibulan ramadhan dan berpesta dengan ibadat-ibadat khusus yang lain sepanjang ramadhan tidak terhenti dengan kehadiran yawal. Nikmat Allah yang melimpah dengan ganjaran pahala ibadat yang berterusan disambung lagi dengan fadhilat yang besar menanti bagi sesiapa yang berpuasa enam hari dibulan Syawal sebagaimana diriwayat oleh Ibnu Majah dengan sanat yang baik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

"Barangsiapa yang berpuasa enam hari selepas berhari raya maka dia telah menyempurnakan berpuasa satu tahun penuh. Barangsiapa mendatangkan kebaikan ( melakukan puasa) maka baginya digandakan 10 kali ganda".

Dalam persoalan menyatukan niat qadha puasa ramadhan dan melakukan puasa sunat enam di bulan syawal (puasa enam) terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama'.

  1. Beberapa ulama' berpendapat tidak sah amalan sunat sebelum melakukan qadha' berdasarkan kaedah :

أن النافلة لاتؤدى قبل الفريضة
(Sesungguhnya amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardhu)
Namun bagi kes wanita yang panjang tempoh haidnya dan bimbang tertinggal peluang menunaikan puasa enam maka dibenarkan puasa enam dahulu kemudian mengqadha'kan puasa Ramadhannya.

  1. Menurut Syiekh Ibn Utsaimin (Liqa' al-Baab al-Maftooh :51/19:

    1. Ibadat yang jenisnya berbeza dan waktu berbeza tidak boleh disatukan niat seperti solat sunat Fajar dan solat sunat Dhuha.

    1. Ibadat yang bersifat umum boleh disatukan niat dengan ibadat bersifat khusus. Contoh jika masuk ke masjid imam sedang solat sunat Fajr, dibolehkan kita sebagai makmum solat bersama imam dengan menggabungkan niat solat sunat tahiyatul masjid kerana solat tersebut bersifat umum.

  1. Menurut Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23 :

Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya
  1. Golongan ulama' yang mengharuskan mereka berpegang kepada kaedah fiqh:

"Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Jika dilihat pendapat-pendapat di atas serta beberapa pendapat yang lain jelas menunjukkan terdapat perbezaan pendapat ulama' dalam persoalan ini. Namun apa yang dapat saya nyatakan disini, walaupun ada keharusan dari pandangan ulama' untuk menggabungkan niat antara puasa syawal dan puasa qadha' ramadhan, adalah lebih afdhal jika tidak menggabungkannya kerana dibimbangi akan mengurangkan pahala puasa syawal tersebut kerana niatnya perlu dipendam dengan hanya berniat puasa qadha'. Moga Allah menerima juga puasa tersebut dengan pahala puasa sunat syawal.

Wallahu a'lam.

Salam Syawal

Salam syawal buat semua pengunjung blog ini. Begitu lama rasanya saya tidak bersama sahabat-sahabat b untuk berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu yang ada.

Sebut tentang pengalaman..emmm...pengalaman syawal saya tahun ini memang best!. Kenapa saya kata best? sebab saya rasa saya telah melakukan peningkatan dari syawal yang lalu. Bukan nak cerita dari aspek ibadat nanti riak pula...dan sia-sia pula segala jihad ibadat dibulan Ramadhan yang lalu. Tapi saya nak ceritakan yang tahun ini saya berjaya menyiapkan lima pasang baju raya. Wow!! selama berkahwin saya tak terfikir saya mampu memjahit sendiri baju kurung untuk anak-anak perempuan saya dan baju melayu untuk anak-anak lelaki saya.

Bayangkan saya yang berkerja 8.00 pagi - 5.00 petang, buat latihan amalan guaman lagi di firma untuk tambah pengalaman, ilmu dan kepakaran, tengah sambung PhD lagi, kerja-kerja pentadbiran di pejabat lagi, masak dan kemas rumah....dan lain-lain yang tidak dapat nak diceritakan di sini. Tetapi itulah kuasa Allah s.w.t, kelapangan yang dikurniakan + keyakinan + sedikit ilmu masa belajar menjahit ketika remaja dahulu + bantuan rakan tersayang (Aswahida) yang membimbing+kesungguhan (ESQ)+penyerahan semua kudrat dari Allah bukan kita yang punya. Maka dapatlah disiapkan sepasang baju kurung riau saya, dua pasang untuk anak perempuan saya dan dua pasang untuk anak lelaki saya. Hubby punyer baju tidak berani lagi nak buat sebab bimbang hubby raya dengan baju yang sengget dan kurang kemas jahitannya.

Nak tengok gambar anak-anak dengan baju raya mereka. Saya akan cuba up-load dalam masa terdekat ini. Tunggu......:)

Posing sakan kakak fatin nampaknya..
Bersempena Syawal ini juga saya mohon maaf jika ada tersalah silap dengan sahabat-sahabat sekalian. Semoga kita sama-sama membentuk diri dan keluarga ke arah yang lebih baik dan diredha Allah. 

"Cantik tak kami"..
Akhirnya dapatt juga up-load gambar anak-anak dengan baju raya mereka..Adib & Fatin bergaya dengan baju baru umie jahit..he..he..
"Tidak ada orang yang tidak membuat kesilapan, Tapi yang silapnya jika membuat kesilapan yang sama berulang-ulang"

Selasa, 17 Ogos 2010

Arkib Berita Buang Bayi

Lagi berita buang bayi hari ini. Kali ini dia macam tahu-tahu ajer tuan rumah yang diletakkan bayi dihadapan rumah tersebut tiada anak. Nampaknya mereka yang hendak buang bayi ini dah intai dahulu di mana tempat yang stategik. Undang-undang dan hukuman telah dibuat. Sekarang yang tinggal hanyalah penguatkuasaan. Sejauhmana undang-undang tersebut dikuatkuasakan bagi memberi pengajaran kepada penjenayah buang bayi dan masyarakat ?....???? Nabil kata..lu fikirlah sendiri...Orang utara kata hang pikiqlah...

Berikut Berita dipetik dari Utusan Malaysia Online hari ini 17 Ogos 2010.

Hati Seorang Wanita Dalam Kes Syariah

Anak didikku Razi. Maaf ustazah baru terbaca permintaan anta. :) Ustazah tak perasan chating dari Razi sebab ianya telah turun ke bawah. Bagaimanapun alhamdulillah hari ini berkesempatan saya lihat semula chat box. Baru jumpa permintaan Razi.

Kecewalah tu tak dapat komen. Ustazahpun tak pasti kenapa tak boleh komen dalam artikel di sini . Nanti ustazah betulkan settingnya. Cari mana yang tak kena.

Berbalik pada tajuk yang ingin dikongsikan pada hari ini. Hati seorang wanita. Kenapa golongan ini boleh meminta fasakh , talak dan sebagainya dari mahkamah.

Mungkin ada antara kita berfikir, wanita ni lemah. Setelah kahwin dia akan setia sampai mati walaupun dizalimi. Dulu benar ianya berlaku. Bahkan wanita langsung tidak berani mengomen atau mengomel suami. Ketika itu wanita banyak bergantung kepada suami, tidak ada kerjaya sendiri, punya didikan agama yang lebih mantap dan mempunyai taraf kesabaran yang tinggi. Apatah lagi bagi isteri yang bergelar ibu kepada anak-anak yang ramai.


Namun zaman berlalu, masa berubah, kehendak berubah, taraf pendidikan berubah dan keperluan kehidupan juga

Isnin, 16 Ogos 2010

Senarai Hotel Halal di Pahang

Khamis lalu saya ada mengulas isu tentang 22 Hotel dan 51 dapur yang diberikan sijil Halal oleh JAKIM bagi kawasan Wilayah Persekutuan. Juga ada senarai hotel halal oleh JAKIM yang diperolehi dari email rakan ex-UM saya.

Rupa-rupanya isu hotel halal ini tidak habis begitu sahaja. Badan-badan swasta yang beroperasi mengeluarkan pensijilan halal juga mula berkokok bilamana senarai mereka tidak diedarkan bersama oleh JAKIM seolah-olah hanya JAKIM yang berkuasa penuh dalam pensijilan HALAL ini.

Maka pandangan saya elok juga satu Suruhanjaya Akreditasi Pensijilan Halal ditubuhkan agar masyarakat tidak keliru sijil mana satu yang betul dan harus diikuti. Malah ianya memudahkan pengguna merujuk kepada satu pihak sahaja yang bakal memperolehi senarai penuh bagi seluruh Malaysia. Tak perlu kejap nak tanya JAKIM lepas tu tanya JAWI, JAIP dan sebagainya. Berdasarkan senarai syarikat-syarikat swasta tersebut rupanya menurut mereka sebanyak 244 Hotel ada sijil halal. Alhamdulillah..

Berikut saya senaraikan hotel-hotel halal yang dikeluarkan oleh JAIP bagi Negeri Pahang Darul Makmur saya tinggal ni..

Ahad, 15 Ogos 2010

Kes Buang Bayi

Bayi dijumpai di atas rumput
Keputusan Kabinet untuk mengkaji dahulu bagi kes-kes pembuangan bayi sebelum menjatuhkan hukuman berat merupakan satu keputusan yang wajar. Bayangkan bagaimana seorang gadis ditipu diperdaya kemudian diperkosa, termengandung lalu bagi menutup aib membuangnya dengan tekanan yang amat berat dari segi psikologi. Mungkin hanya meletakkan bayi di tempat yang selamat seperti surau agar dapat dipelihara oleh orang yang baik-baik. Secara spikologi ia suatu tindakan yang tidak dengan niat kerana berlaku ekoran tekanan perasaan yang amat berat.

Dari aspek perundangan ia dikira sebagai pembuangan anak bukan dengan niat membunuh. Namun dari aspek agama pencegahan itu lebih diutamakan sebagaimana kaedah fiqh :

الضرر يزال
(Menutup jalan-jalan yang membawa kerosakan)

Dalam konteks isu pembuangan bayi ini langkah pencegahan sebelum membawa kepada pengguguran bayi itu perlu dipertingkatkan agar tidak berlaku penzinaan yang akhirnya membawa kepada kehamilan tidak sah. Allah s.w.t telah berpesan agar perkara ini perlu dijauhi bahkan tidak boleh langsung mendekatinya sebagaimana firmanNya dalam Surah al-Isra' ayat 32 :
وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬ 
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

Namun apa yang berlaku kini maksiat terlalu berleluasa, pergaulan bebas , penjualan vcd lucah,  sumbang mahram, konsert-konsert yang melalaikan, rumah urut, arak dan sebagainya yang tidak dikawal. Maka hukuman sahaja tidak memadai tanpa aspek pencegahan. Mungkin setengah pandangan ada menyatakan "tak apalah biarlah ada daripada tiada langsung". Maka buatlah sesuatu dalam bidang kuasa masing-masing dengan amanah yang telah diberikan oleh Allah bagi semua pihak. Bermula dari tanggungjawab dari rumah sebagai ibubapa, guru-guru, rakan, saudara mara, penguatkuasa, pejabat agama dan pemerintah.
bayi dijumpai di dalam kotak

Berikut saya sertakan keratan akhbar tersebut:

Bukan semua kejadian buang bayi kes bunuh'
Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/08/15

Hak Peguam Negara buat ketetapan dakwa ibu bapa: PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata Peguam Negara yang akan menentukan sama ada sesuatu kes buang bayi itu boleh diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan seterusnya mendakwa ibu bapa terbabit ke mahkamah. Perdana Menteri berkata, tidak semestinya setiap kes buang bayi yang dilaporkan itu adalah kes bunuh

bangkai bayi yang dibuang
“Kita sudah buat keputusan polis siasat kes berkenaan dengan terperinci menggunakan teknologi moden termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti ibu bapa bayi. Peguam Negara akan membuat ketetapan sama ada nak didakwa atas kesalahan bunuh atau apaapa lain yang patut dilakukan.

“Kita menganggap perkara ini (kes buang bayi) serius namun kalau mahu diselesaikan secara tuntas (menyeluruh) maka ia mesti berpusat kepada pendidikan supaya golongan terbabit terutama remaja faham apa yang boleh dan tidak boleh lakukan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 221 wakil masjid dan surau dalam Parlimen Pekan, di sini, semalam.

Najib mengulas reaksi berbeza beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai berhubung cadangan supaya tindakan membuang bayi disiasat sebagai kes bunuh dan cubaan membunuh.

Jumaat lalu, akhbar melaporkan Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati manakala kes cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Selain itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika mengulas penggunaan Dinar Emas dan Dirham Perak oleh kerajaan Pas Kelantan, menyerahkan kepada Bank Negara untuk melihat dari segi undang-undang berhubung penggunaan mata wang alternatif itu.

“Biar Bank Negara buat kenyataan mengenainya,” katanya.

Mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Agung Komunikasi dan Maklumat Awam Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Kiyotaka Akasaka, berhubung Malaysia adalah model contoh negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dapat hidup bersama dengan harmoni, Najib berkata, ia adalah hasil dasar kerajaan yang mengambil kira realiti masyarakat negara ini dengan mengamalkan nilai kesederhanaan dalam menguruskan pentadbiran negara.

Malah, katanya, Malaysia bertuah kerana keadaan keselamatan negara terjamin.

Sebagai contoh, katanya, umat Islam di negara ini dapat melakukan ibadat tanpa memikirkan soal keselamatan begitu juga dengan kaum lain yang bebas mengamalkan ajaran masing-masing.

Bayi comel dijumpai di dalam bakul
Penulis : لعلكم تفكرون  

Khamis, 12 Ogos 2010

Berbuka Puasa di Hotel? Awas!!

Hotel Seri Malaysia Kuantan
Terkejut juga bila membaca rupa-rupanya tidak banyak Hotel yang tersenarai dalam senarai Halal oleh pihak Jakim. Mungkin ini yang dikatakan antara Rahmat Ramashan. BIla JAKIM nak anjurkan majlis berbuka puasa, maka senarai Hotel yang dapurnya Halal diperlukan agar JAKIM tidak tersalah menganjurkan ditempat yang tidak Halal.

Petikan akhbar Berita Harian hari ini menyebut..

JAKIM maklum 34 negara luar senarai hotel halal


2010/08/12

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah memaklumkan kepada 34 ketua perwakilan negara luar yang terdapat di Malaysia mengenai senarai 22 hotel yang telah mendapat sijil halal di sekitar Wilayah Persekutuan (WP).

Ketua Pengarah, Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata JAKIM mengeluarkan pekeliling bagi semua negara Islam berkenaan melalui pejabat kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi mereka, bermula semalam.

"JAKIM telah memaklumkan dan meminta kerjasama kedutaan tersebut bahawa Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) merupakan badan kerajaan yang diberi tanggungjawab bagi mengeluarkan sijil halal di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 22 hotel dan 51 dapur di sekitar WP Kuala Lumpur (KL) diberikan pensijilan halal Malaysia oleh JAKIM sehingga 9 Ogos lalu.

Wan Mohamad berkata pihak Jakim menggalakkan perwakilan agar membuat pilihan ke hotel-hotel yang disahkan halal oleh Jakim dan JAIN bagi menganjurkan majlis keraian dan majlis berbuka puasa.

Beliau berkata orang ramai juga boleh mendapatkan senarai hotel yang telah disahkan halal oleh JAKIM di sekitar WP KL atau JAIN bagi hotel-hotel di peringkat negeri. - BERNAMA
Hasil perkongsian email dari sahabat-sahabat alumni UM berikut adalah hotel-hotel yang tersenarai :

Hotel 5 Bintang :
1) Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya
2) Hotel Evergreen Laurel , Pulau Pinang
3) Hotel Grand Dorsett, Labuan
4) Hotel Pan Pacific KLIA
5) Hotel Legend , KL
6) Hotel Grand Bluewave , Shah Alam
7) Tradewinds Hotels & Resorts, Johor Bahru
8) Hotel Istana, Kuala Lumpur

Hotel 4 Bintang :
1) Hotel Ancasa Kuala Lumpur
2) Hotel Cititel Pulau Pinang
3) Hotel Crystal Crown, KL
4)Hotel Grand Seasons, KL ( latest : telah ditarik lesen halal!!!)
5) Hotel Armada, Petaling Jaya
6) Hotel Seri Malaysia, Alor Setar
7) Hotel Ming Court, KL
8) Hotel the Summit, USJ Subang
9) PNB Darby Park, Executives Suite, KL

Hotel 3 Bintang :
1) Hotel Brisdale International, KL
2) Hotel Dynasty, KL
3) Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands
4) Hotel Seri Malaysia, Marang
5) Hotel KL, Jalan Raja Muda
6) Hotel Nilai, Negeri Sembilan
7) Hotel PG, KL
8) Hotel Puteri Park, KL
9) Hotel Quality, KL
10) Hotel Residence , Kajang
11) Hotel The Paramount, Sibu
12) Hotel Plaza, KL

Dua Bintang :
1) Hotel Seri Malaysia, Kuantan
2) Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani
3) Hotel Seri Malaysia , Bagan Lalang

Sumber : Berita Kosmo dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Naif sungguh rasa diri ini, tahun-tahun sebelum ini tak pernah semakpun senarai hotel yang ada sijil halal sebelum makan. Asalkan hotel tu nampak Islam dan ramai pengunjung Islam pergi sana, terus je terjah. Walaupun setiap tahun hanya sekali dua sempat berbuka special di hotel, namun tetap tak menyemak terlebih dulu dan ikutje rakan yang lebih alim dan arif dalam hal camni. Tak sangka pula dalam beribu-ribu hotel, tak sampai 50 sahaja yang dapat sijil halal dari JAKIM. Di Kuantan pula tu hanya ada satu ajer yang Halal.

Selain itu, saya juga sertakan link untuk sahabat-sahabat melihat sendiri jika ada up date terkini . Boleh lihat di link ini :

http://www.eyriqazz.com/2010/07/senarai-hotel-miliki-sijil-halal-2010.html

http://www.halal.gov.my/v2/index.php?ty=maklumat_hotel&PHPSESSID=66e02cfffd84f6e433f068ce0bc1130c

JADI SELAMAT BERBUKA. BERBUKALAH DITEMPAT YANG HALAL AGAR IBADAT TIDAK TERPALIT BERSAMANYA DOSA.

Moh pergi Hotel Seri Malaysia Kuantan...Saper yang nak belanja saya yerk?




 



Ramadhan Karim

Rabu, 11 Ogos 2010

Khasiat Buah Kurma

Apabila  menjelang Ramadhan ini permintaan terhadap buah kurma meningkat secara mendadak. Mesti terfikir di benak pemikiran kita selain sunnah apa lagi kelebihan memakan buah kurma ini.

Dalam Berita Mingguan 8 Ogos lalu sempat saya membaca beberapa khasiat Buah Kurma yang amat besar untuk kesihatan fizikal dan mental manusia. Antaranya ialah :

1. Kaya dengan sumber zat besi, pottasium, magnesium, sulfur, kalsium selain pelbagai vitamin termasuk asid folik.
2. Kandungan magnesium yang tinggi yang boleh mencegah barah. Amat jarang kita mendengar orang arab badwi diserang kanser kerana mereka menjadikan kurma sebagai makanan utama mereka

3. Satu kilogram kurma mengandungi 3,470 kalori kepada tubuh sebaik memakannya. Tenaga itu dapat memuaskan selera makan yang amat penting terutama ketika berbuka.

4. Memudahkan wanita bersalin.

5. Vitamin A yang ada dapat membaiki penglihatan dan menjadi penawar masalah tidak nampaak pada waktu malam dan kekeringan mata serta mencegah penyakit mata.

6. Penawar masalah pening kerana mengandungi zat besi dan kalsium.Ia juga penting untuk pembentukan tulang, gigi dan tisu otak.
Pokok Kurma




Selasa, 10 Ogos 2010

Puasa Dapat Meningkatkan Kesihatan

Pintu Ramadhan terbuka lagi. Bagi kita yang masih diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk mengetuk dan memasuki pintu tersebut serta menikmati segala rahmat dan makfirah Allah yang tersedia di dalamnya. Selain rasa gembira dapat meneruskan ibadat di bulan ini, kita juga gembira bila membayangkan pelbagai juadah berbuka yang pelbagai warna , bentuk dan rupa.
Ketika inilah ramai yang mengambil kesempatan untuk ber'diet'. Namun jika siang harinya menahan diri dari lapar dan dahaga dengan niat mengurangkan makan untuk menurunkan berat badan, menurunkan kolestrol tetapi ketika berbuka membaham segala makanan dengan rakus dan tersandar kekeyangan impian untuk menurunkan berat badan akan terkubur.
Jadi, bagaimana untuk menjadikan Ramadhan bukan sahaja bulan meningkatkan ibadat bahkan juga meningkatkan kualiti kesihatan? 

Tidak dinafikan puasa adalah satu metod yang membantu meningkatkan kesihatan. Banyak kajian mendapati puasa dapat melegakan masallah berkaitan sistem pencernaan seperti radang pada kolon dan hati. Puasa juga boleh menangani masalah obesiti, lelah dan tekanan darah  . Namun caranya hendaklah betul agar kerahmatan atau kebaikan yang disediakan dari pelbagai segi dapat dinikmati khususnya aspek kesihatan.

Diantara cara yang dianjurkan oleh pakar kesihatan yang dipetik dari Berita Minggu 8 Ogos 2010 ialah :

1. Makanan dan minuman yang terlalu banyak ketika berbuka boleh menyebabkan 'beku' dalam sistem pencernaan.

2. Banyakkan minum air sekurang-kurangnya 4 liter atau bersamaan 15 gelas sehari . Menurut Dr Humaira Nasir, Pegawai Perubatan di Hospital Abu Dhabi , bagi mereka yang mengidap tekanan  darah tinggi, boleh mencampurkan sedikit garam di dalam air. Dalam masa yang sama elakkan makan terlalu banyak makanan pedas kerana boleh meenyebabkan minum terlalu  banyak air dan amat letih.

3. Jangan mengelak dari bersahur kerana dengannya badan akan mendapat bekalan bagi meneruskan puasa sepanjang hari.

4. Bagi yang ingin menurunkan berat badan mulakan iftar dengan makanan ringan seperti kurma, jus atau sup.Simpan makanan yang berat selepas solat maghrib atau setelah selesai tarawih.

5. Minum air yang mencukupi ketika berbuka selari dengan keperluan tubuh badan yang memerlukan glukos sebagai sumber tenaga terutama otak.

Selamat Berpuasa dan Menyempurnakan Ibadat Puasa Tersebut...

Sakineh : Antara Kebenaran dan Keadilan

Sejak membaca berita yang disiarkan dalam Berita Minggu Ahad lalu, hati ini menarik-narik jari jemari ini untuk mengetukkan sesuatu di blog untuk dikongsi bersama pembaca.
Keratan akhbar tersebut berbunyi...


TEHERAN: Wanita Iran yang menghadapi hukuman gantung atas kesalahan zina, Sakineh Mohammadi Ashtiani, menuduh pihak berkuasa berbohong mengenai dakwaan ke atasnya supaya dapat membunuhnya secara rahsia.

Berita ini mengisahkan seorang wanita Iran, 43 tahun yang dituduh mempunyai hubungan luar nikah atau dalam erti kata lain berzina tanpa pengetahuan suaminya. Asalnya Sakineh ini dihukum rejam sampai mati, namun hukuman tersebut telah mendapat bantahan masyarakat antarabangsa sebagaimana dilaporkan dalam sebuah akhabar antarabangsa The Guardian. Ironinya pihak pegawai Iran telah menukar hukuman kepada hukuman gantung dengan mengaitkan Sakineh dengan tuduhan membunuh suaminya.

Tuduhan dan hukuman baru itu disifatkan oleh Sakineh sebagai suatu penipuan oleh pihak berkuasa Iran kesan dari bantahan masyarakat antarabangsa dan liputan meluas oleh media yang malu akan kesilapan zina yang telah dilakukan oleh Sakineh. Sakineh juga menyifatkan tindakan pihak berkuasa Iran keatasnya adalah satu penganiayaan terhadap golongan wanita Islam yang berada di negara tersebut kerana jika lelaki Iran berzina mereka tidak langsung dipenjarakan. Bahkan bila ianya berlaku kepada wanita hukuman dijatuhkan seberat-beratnya.

Kes di atas sebenarnya memaparkan beberapa perkara dalam perlaksanaan undang-undang Islam.

1. Penghakiman perlu dilakukan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak apatah lagi anasir luar dari musuh-musuh Islam. Jika penghakiman dipengaruhi oleh pihak lain maka berlakulah bias dan kezaliman akan berleluasa.


2. Masih berlaku disesetengah negara meletakkan darjat wanita ditempat yang rendah tanpa pembelaan dan keadilan. Sedangkan Islam tidak membezakan darjat seseorang melainkan berdasarkan taqwa.

3. Senario yang jika benar berlaku di Iran ini dan dimanipulasi oleh media pula akan memberi tamparan hebat kepada umat Islam. Fahaman "orang Islam adalah pengganas" akan terus berleluasa. Musuh Islam akan mengambil kesempatan ini bagi menjayakan misi misionary mereka.
4. Tindakan Iran membuang negeri ke atas Peguam kepada Sakineh juga adalah suatu yang terkeluar dari sistem keguaman Islam. Dimana seseorang itu masih boleh dibela selagi hukuman belum diputuskan. 

Jika benarlah berita yang dipaparkan ini merupakan suatu kezaliman yang besar dalam sistem perundangan Islam dan penganiayaan terhadap golongan wanita.

ALLAH SWT berfirman:
Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu meletakkan amanah kepada mereka yang sepatutnya. Dan bila kamu menghukum di kalangan manusia, menghukumlah dengan adil.
(An Nisa’: 58)

Berlaku adillah kamu. Sesungguhnya ia lebih hampir untuk mencapai kepada taqwa.
(Al Maidah: 8)


Wallahu a'lam.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...