Selasa, 17 November 2009

Iman dan Islam Menurut Imam Asy-Syafie Rahimahullah

PENDAHULUAN


1. Konsep Islam

Islam dari sudut bahasa berasal daripada Bahasa Arab ”سَلِمَ” yang bermaksud selamat, sejahtera, aman dan harmoni. Manakala dari segi istilah syarak Islam bermaksud menyerah diri kepada Pencipta ( Allah ) yang Maha Berkuasa dengan mentauhidkanNya sepenuh keyakinan serta melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangannya.
Perkataan Islam dalam konteks agama pula mempunyai dua maksud iaitu Islam sebagai agama ciptaan Allah yang lengkap lagi sempurna dan Islam sebagai "Ad-Din".

Islam sebagai agama yang lengkap lagi sempurna bermaksud segala peraturan, hukum-hukum dan undang-undang yang meliputi atau memenuhi seluruh aspek kehidupan manusia sama ada secara individu, keluarga, masyarakat dan negara. Ia juga merupakan satu agama yang menghubungkan manusia dengan Tuhan, manusia dengan sesama manusia dan manusia dengan alam sejagat, bertujuan menjamin kesejahteraan, kesempurnaan dan kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. Firman Allah s.w.t :

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

( Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu, dan Ku cukupkan bagimu agamaKu dan Aku redha Islam sebagai agamamu )

( Al-Maidah-4)



Selain itu Islam sebagai "Ad-Din" pula bermaksud suatu cara hidup atau peraturan hidup atau pegangan hidup yang menjamin keselamatan di dunia dan akhirat. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Imran ayat 19 yang berbunyi:



إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ الإِسْلاَمُ



( Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam)



2. Konsep Iman



Iman dari segi bahasa berasal dari Bahasa Arab امن"" bermakna aman atau membentuk keadaan aman dan tenteram. Iman ايمان)) pula membawa maksud percaya dan yakin. Menurut istilah syarak dari sudut Ilmu Tauhid, iman bermaksud membenarkan di hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota. Oleh sebab itu seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah tanpa ada keyakinan di dalam hati dia hanyalah seorang muslim dan belum lagi menjadi seorang mukmin.



Terdapat satu kisah di zaman Rasulullah s.a.w tatkala seorang Arab Badwi memeluk Islam dan bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Badwi ini berkata: "Wahai Rasulullah, saya telah beriman". Lantas Rasulullah terus menegur Badwi ini, " Jangan katakan kamu telah beriman, katakan sahaja kamu sudah Islam".



Kisah di atas menunjukkan bahawa untuk memenuhi pengertian beriman kepada Agama Islam itu hendaklah memenuhi tiga perkara iaitu mengakui di dalam hati bahawa tiada Tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruhNya, melafazkan dengan lidah serta mengamalkan segala ajaranNya. Oleh sebab itulah untuk menjadi seorang muslim mudah, tetapi untuk menjadi seorang mukmin lebih-lebih lagi muttaqin amatlah susah. Sabda Rasulullah s.a.w:

لَيْسَ اَلايمانُ بِالتَّمَنِّى وَلا بِاالتَّحَلِّى وَلَكِنْ مَا وَقَّرَ فِى القَلْبِى وَصَدَقُهُ اَلْعَمَلُ

( Iman itu bukanlah dengan cita-cita dan perhiasan, tetapi ianya apa yang tersemai di dalam hati dan dibuktikan dengan perbuatan ).

Riwayat al-Tarmizi



Para ulama’ banyak menghuraikan perihal iman dan Islam ini. Ada diantara mereka yang berbeza pendapat. Di antara pendapat yang muktabar yang diterima oleh kebanyakkan umat Islam ialah Imam Asy-Syafi’i.



IMAN DAN ISLAM MENURUT IMAM ASY-SYAFI’I



Dalam membahaskan tentang iman, Imam Asy-Syafi’i terlebih dahulu menghuraikan tentang hakikat iman, bertambah dan berkurangnya iman, pengecualian dalam iman serta hubungannya dengan Islam dan perbezaan antara iman dan Islam. Oleh yang demikian setiap huraian Imam Asy-Syafi’i ini perlu di perincikan satu-persatu agar memberi kefahaman yang baik terhadap dua perkara ini.



1. Hakikat Iman



Pendapat Imam Asy-Syafi’i berkaitan iman hampir sama dengan pendapat dari manhaj salaf rahimahullah iaitu ucapan hati dan lisan dan diikuti dengan amalan yang mana iman tersebut boleh bertambah dan berkurangan. Al- Baihaqi rahimahullah berkata, ” Aku telah mendengar Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata : Iman itu adalah ucapan dan perbuatan, ia bertambah dan berkurangan.”



Dalam sanad lain, al-Baihaqi meriwayatkan dari ar-Rabi rahimahullah, katanya : ”Imam Asy-Syafi’i rahimahullah membaca kepadaku bait-bait syairnya yang berikut :

شهدت بأن اللّه لا شى غيره * وأشهد انّ البعث حقّ وأخلص

وأن عرى الايمان قول محسن * وفعل زكى قد يزيد وتنقص



Aku bersaksi bahawa tidak ada Ilah selain Allah,

Aku bersaksi penuh ikhlas,

Bahawa kebangkitan adalah haq,

Bahawa ikatan iman ialah ucapan yang baik,

Dan perbuatan yang bersih,

Yang kadang-kadang bertambah dan berkurang.



Ucapan ini juga terdapat dalam Kitab Hilya al-Auliya karya Abu Nu'main rahimahullah dengan tambahan lafaz iaitu : " Ia bertambah kerana ketaatan dan berkurangan kerana kemaksiatan." Lalu Imam Asy-Syafi'i rahimahullah membaca ayat :

وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا

( Dan supaya orang-orang beriman bertambah imannya.)

Surah Al-Muddathir :31

Dalam kitab yang sama, Abu Nu'ain rahimahullah meriwayatkan dengan sanadnya dari ar-Rabi' bin Sulaiman rahimahullah katanya: " Seorang lelaki dari negeri Balkan telah bertanya kepada Imam Asy-Syafi'i rahimahullah tentang iman. Imam Asy-Syafi'i rahimahullah menjawab : "Menurut engkau bagaimana?" Lelaki itu menjawab: "Menurutku iman itu adalah ucapan." " Darimana kamu mendapat pendapat itu?" tanya Imam Asy-Syafi'i rahimahullah . Dia menjawab : "Dari firman Allah s.w.t:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ

( Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh...)

Surah Al-Baqarah:277

Jika dilihat daripada keseluruhan sanad yang dikemukakan di atas menunjukkan bahawa, hakikat iman menurut Imam Asy-Syafi'i rahimahullah ialah terdiri dari ucapan, amal dan niat.



2. Bertambah dan berkurangnya iman.



Pendapat tentang bertambah dan berkurangnya iman ini telah diperolehi dari para sahabat, tabi'in dan para imam radhiyallahu 'anhum diantara mereka ialah:



i. Umair bin Hubaib rahimahullah. Menurut Umair "Iman itu bertambah dan berkurang." Beliau ditanya : "Bagaimana bertambah dan berkurangnya iman?" Jawab beliau: "Bila kita berzikir kepada Allah s.w.t, bertahmid dan takut kepadaNya maka saat itu iman bertambah. Sebaliknya tatkala kita melupakan Allah s.w.t dan mengabaikanNya, maka saat itu iman kita berkurangan.



ii. Umar bin al-Khattab pernah menyeru kepada teman-temannya: "Mari kita menambah keimanan kita." Maka mereka pun berzikrullah.



iii. Imam Abu Abdillah al-Bukhari rahimahullah menyebut dalam kitabnya al-Iman. Ujarnya "Bab bertambah dan berkurangnya iman ada disebut oleh Allah s.w.t dalam firmanNya :



وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

( Dan kami tambahkan mereka hidayahnya)

Surah Al-Kahfi : 13

وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا

( Dan agar orang-orang beriman bertambah imannya)

Surah Al-Mudathir : 31



Manakala menurut Imam Asy-Syafi'i rahimahullah dalam persoalan bertambah dan berkurangnya iman, Imam ar-Rabi' bin Sulaiman rahimahullah telah bercerita : " Aku telah mendengar Imam Asy-Syafi'i rahimahullah berkata : Iman adalah ucapan dan amal yang bertambah dan berkurang. Bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan. Lantas Imam Asy-Syafi'i rahimahullah membaca ayat :

وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا

( Dan supaya orang-orang beriman bertambah imannya)

Surah Al-Mudathir :31

3. Pengecualian dalam iman serta hubungannya dengan Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan pengecualian dalam iman ialah dengan memasukkan perkataan "insya Allah" bila di tanya tentang keimanan diri kita. Sebagai contoh bila ditanya tentang iman, seseorang berkata : "Saya seorang mukmin insya Allah." Tentang permasalah ini para ulama’ telah berselisih pendapat, ada yang mewajibkan perkataan tersebut diucapkan, ada yang mengharamkannya dan ada yang membolehkannya. Pendapat yang membolehkannya merupakan pendapat yang paling sahih.

Muhammad bin al-Husain al-Ajurri rahimahullah berkata adalah dibolehkan pengecualian (beristisna’) dalam iman yang bertujuan bukan untuk keraguan tetapi untuk menghindari agar tidak sampai mengakui diri sendiri telah sampai tahap kesempurnaan iman.Kebiasaan amalan para ahli ilmu dan ahlul haq bila ditanya kepada mereka mukminkah engkau?. Mereka menjawab: " Aku beriman kepada Allah s.w.t, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasul dan hari akhirat, syurga dan neraka dan sejenisnya. "

Menurut Imam Asy-Syafi’i rahimahullah boleh mengaku beriman dengan pengecualian seperti seseorang menyatakan : "Saya beriman, insya Allah." Hal ini kerana Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berpandangan amal adalah bahagian dari iman, maka pengecualian (istisna’) tersebut diarahkan kepada imal, bukan kepada aqidah atau iman itu sendiri.

Bersambung pada masa akan datang....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...