Rabu, 12 Mei 2010

Asas Didikan Anak-Anak Siri 4

"Seorang yang berakhlak sempurna akan membentuk jati diri unggul dirinya, umpama ikan dilautan sedikitpun tidak terkesan dengan masinnya air lautan tersebut".


Salam alaikum sahabat semua.
Alhamdulillah kita menyambung lagi perbincangan tentang kaedah didikan anak-anak yang terbaik. Semoga Allah memberi kekuatan untuk kita melakukan yang terbaik untuk anak-anak kita kerana masa yang berlalu itu tidak akan bertemu kita semula....jangan nanti anak telah besar baru teringat ruginya tak didik anak-anak elok-elok masa dulu...


Menanamkan Akhlak Yang Luhur

Inilah merupakan perkara penting ke-4 yang perlu kita ambil perhatian dalam mendidik anak-anak. Setelah mereka melihat kita dan sesiapa disekeliling mereka sebagai role model, sebagai ibubapa kita perlu melatih, membentuk seterusnya membudayakan anak-anak dengan akhlak baik tersebut.

Kepentingan akhlak ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w .
" Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Kepentingan penyempurnaan akhlah mulia melalui cara didikan yang baik adalah perkara yang amat penting sebagaimana pentingnya risalah Nabi Muhammad s.a.w untuk umat manusia. Hal ini tidak boleh dipandang remeh oleh ibubapa. Pembentukan akhlak ini boleh berlaku samada secara formal  mahupun informal. Hasil pemerhatian anak-anak terhadap apa yang dilakukan oleh orang -orang disekeliling mereka secara tidak langsung dan informal boleh mempengaruhi akhlak mereka. Jadi terdapat tiga langkah dalam pembentukan akhlak anak-anak yang boleh dikongsikan disini :



1. Melalui latihan
Anak-anak hendaklah dilatih untuk melakukan akhlak -akhlak baik (mahmudah) secara sedikit demi sedikit tetapi berterusan. Sebagai contoh mulakan anak-anak dengan menyebut bismillah sebelum makan,sebaik sahaja anak boleh berkata-kata. Tidak perlu menunggu sehingga anak kita benar-benar pandai bercakap. Walaupun dalam bahasa pelatnya namun anak-anak ini akan terbiasa. Latihan ini perlu berterusan sehingga menjadi ingatan kekal dalam minda anak-anak bahawa setiap kali hendak makan mereka perlu membaca bismillah. 

Begitu juga dalam adab yang lain, sebagai contoh berjumpa orang bersalam, hendak masuk ke rumah memberi salam, hendak membuang air kecil ataupun besar menjirus terlebih dahulu mangkuk tandas agar tiada melekat kesan najis dan tidak menyukarkan proses membersih dan lain-lain lagi. Tidak kira akhlak itu baik dari sudut agama mahupun moral dan adat masyarakat setempat. Asalkan ianya tidak bertentangan dengan syarak.
2. Membentuk
Dalam proses membentuk ini biasanya bukan hanya akhlak baik yang kita telah latih diamalkan oleh anak-anak kita. Ada kalanya mereka cuba mempraktikkan perangai atau tingkah laku yang dilakukan oleh apa yang mereka lihat. Sama ada dari masyarakat sekeliling mahupun media elektronik. Sebagai contoh jika anak-anak mempunyai kawan yang suka bersolek, berpakaian seksi dan ketawa dengan kuat. Anak kita akan terdorong untuk mengikut perbuatan rakannya ini. Pada ketika itulah daya membentuk perlu ada pada diri kita ibubapa mahupun pendidik kepada anak-anak. Bagaimanakan cara membentuk ini?

Proses membentuk ini seolah-olah kita bayangkan sebagai satu proses membuat bentuk doh donut. Pastinya dalam membentuk doh tersebut kita dibantu oleh anak-anak, atau rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain. Bilamana ramai yang tolong membentuk doh donut tersebut pelbagai bentuk yang dihasilkan Namun kita telah ada standard saiz dan bentuk yang hendak kita hasilnya. Bila bentuk berubah kita pasti membetulkan agar sama sebagaimana bentuk dan saiz yang hendak kita hasilkan agar semua donut-donut tersebut cantik seperti yang kita inginkan.

Begitu juga dalam mendidik akhlak anak-anak. Bila kelihatan anak-anak tersasar dari matlamat akhlak Islam yang kita mahukan, kita perlu memperbetulkannya dengan cara menegur bahawa bersolek diluar rumah adalah dilarang oleh Islam. Ketawa besar adalah antara perbuatan syaitan. Berpakaian seksi adalah sama macam tidak berpakaian dan belum lagi menutup aurat. Kemudian kita rasionalkan kenapa Islam larang untuk bersoleh diluar rumah, kenapa Islam larang ketawa besar, kenapa Islam larang berpakaian seksi?.Perlu dirasionalkan kerana  anak-anak suka berfikir. Jadi jangan menyekat pemikiran mereka tanpa ada memberikan sebab yang sesuai dengan kewarasan akal. Sebagai contoh, jika berpakaian seksi orang nampak tidak bentuk badan kita? Elok atau tidak membiarkan orang lelaki melihat bentuk badan kita? Nanti kita terdedah kepada jenayah rogol dan penculikan. Itukan tidak selamat untuk diri kita di dunia. Nanti akhirat pula kita di azab di neraka Allah.Rasionalkan dengan mengajukan persoalan kepada mereka untuk mereka jawab adalah lebih baik.

Bilamana anak dilatih untuk berfikir bagi tindak tanduknya dalam proses membentuk ini, anak-anak akan biasa berfikir sebelum melakukan sesuatu. Ini penting agar anak-anak dibiasakan membuat pertimbangan antara baik dan buruk. Begitu juga cerita-cerita di televisyen. Cerita Sin Chan contohnya, biasa dipaparkan bagaimana watak ini menipu ibu dan bercakap kasar dengan ibunya. Ketika menonton kita perlu menjelaskan baik atau buruknya perbuatan tersebut agar anak-anak tidak terikut akhlak dalam watak tersebut.

3. Membudayakan
Membudayakan akan lahir setelah perbuatan itu menjadi membiasakan. Dalam proses ini kita perlu mengawasi anak-anak agar semua yang dilakukan adalah akhlak-akhlak yang baik. Ketika anak-anak terlupa kita ingatkan. Lama kelamaan ia akan menjadi suatu kebiasaan dan seterusnya menjadi satu budaya. Pembudayaan ini penting kerana bilamana anak-anak ini tidak melakukan perbuatan tersebut mereka akan merasa suatu yang janggal atau pelik ketika melakukannya.

Sebagai contoh jika anak-anak telah dibiasakan menutup aurat, bilamana anak ini diarahkan untuk membuka aurat untuk pekerjaan dan sebagainya, dia akan merasakan suatu yang janggal. Dia akan berfikir baik dan buruk dan seterusnya dia tidak teragak-agak untuk mengingkari arahan dalam pekerjaan tersebut kerana ianya bertentangan dengan budaya dan undang-undang Islam. Ini akhirnya menghasilkan satu jati diri yang unggul dalam diri anak-anak kita atau kita namakan prinsip yang jelas.Ketika ini insyaallah berkat doa seorang ibu dan ayah anak-anak akan berjaya dan selamat dunia dan akhirat..

"Berlumba-lumbalah membuat kebaikan.."
-Al-Quran-
Wallahu a'lam.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...