Selasa, 17 Ogos 2010

Hati Seorang Wanita Dalam Kes Syariah

Anak didikku Razi. Maaf ustazah baru terbaca permintaan anta. :) Ustazah tak perasan chating dari Razi sebab ianya telah turun ke bawah. Bagaimanapun alhamdulillah hari ini berkesempatan saya lihat semula chat box. Baru jumpa permintaan Razi.

Kecewalah tu tak dapat komen. Ustazahpun tak pasti kenapa tak boleh komen dalam artikel di sini . Nanti ustazah betulkan settingnya. Cari mana yang tak kena.

Berbalik pada tajuk yang ingin dikongsikan pada hari ini. Hati seorang wanita. Kenapa golongan ini boleh meminta fasakh , talak dan sebagainya dari mahkamah.

Mungkin ada antara kita berfikir, wanita ni lemah. Setelah kahwin dia akan setia sampai mati walaupun dizalimi. Dulu benar ianya berlaku. Bahkan wanita langsung tidak berani mengomen atau mengomel suami. Ketika itu wanita banyak bergantung kepada suami, tidak ada kerjaya sendiri, punya didikan agama yang lebih mantap dan mempunyai taraf kesabaran yang tinggi. Apatah lagi bagi isteri yang bergelar ibu kepada anak-anak yang ramai.


Namun zaman berlalu, masa berubah, kehendak berubah, taraf pendidikan berubah dan keperluan kehidupan juga berubah . Segala perubahan tersebut memberi impak besar kepada perubahan pemikiran, emosi dan daya ketahanan wanita zaman sekarang. Golongan ini semakin terbuka pemikirannya, mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi, kehendak dan gaya yang lebih moden. Mereka sudah agak berani dan berlumba-lumba dengan golongan lelaki dalam melakukan kebaikan. Sebagaimana firman Allah dalam  Surah Al-Hujurat ayat 13:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ 

Ertinya :Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
 Namun ada kalanya kemodenan, peningkatan taraf pendidikan, status dan keturunan memberi kesan negatif kepada wanita kini. Walaupun ianya suatu back-up kepada wanita jika pihak suami melakukan keganasan, tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, curang dan sebagainya sehingga si isteri ditinggalkan. Namun ia tidaklah sehingga isteri boleh mengenepikan terus kedudukan seorang suami . 

Dalam banyak kes syariah, bilamana kezaliman dari pihak suami seperti suami seorang peminum, kaki wanita, kaki judi, mengambil dadah, mempunyai kecacatan alat kelamin dan pendera. Adalah wajar isteri memohon fasakh dan perceraian biasa setelah berikhtiar dan bersabar. Sememangnya dari aspek emosi wanita begini amat terdera dari segi fizikal dan spritual.Bahkan inilah yang dikatakan dharar syarie .

Bagi kes-kes yang masih boleh perbincangan dilakukan seperti perkahwinan tanpa restu ibubapa, main kayu tiga, poligami,  suami tidak memberi nafkah dan lain-lain. Sewajarnya isteri yang merasa tidak puas hati ini  bersama suami dipanggil untuk di kaunselingkan dahulu dan masih ada ruang perdamaian. Oleh sebab itulah amalan di Mahkamah Syariah sekarang semua kes-kes pembubaran perkahwinan melalui permohonan cerai biasa, tebus talaq (khul'), ta'liq dan sebagainya penyelesaian secara sulh diutamakan bagi mencari titik pertemuan dan perdamaian. Ini termaktub dalam Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Pahang 2002 :

"Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh pada mana-mana peringkat prosiding itu mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak".

Dalam kes yang tiada juga titik pertemuan setelah sulh dilakukan, terutama isteri yang memohon perceraian talaq, si isteri sanggup bersetuju dengan permintaan suami asalkan dirinya diceraikan.

Ada beberapa kes yang sempat saya menemubual si isteri walaupun saya adalah wakil kepada pihak suami. Isteri tersebut bersedia apa sahaja asalkan diri dilepaskan. Alasan isteri ialah hati sudah "tawar", sudah tidak boleh berbincang, luka terlalu mendalam, tidak mahu didera fizikal lagi kerana suami panas baran dan tidak boleh bertentang mata lagi dengan suami. Bila mereka meluahkan perasaan mereka biasanya air mata akan bercucuran. Remuk hati mereka bilamana suami yang diharapkan menjadi tempat bernaung, bermanja dan bergantung tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya. Ada juga yang telah ada 'bakal pengganti' dan keluarga tidak boleh terima lagi suami mereka kerana perkahwinan dahulu tanpa restu.Apapun bagi saya kedua-dua pihak biasanya ada kekurangan dan kesilapan sehingga boleh membawa perceraian.

Jika nak bicarakan alasan 1001 alasan boleh diberikan bila hati telah tidak suka. Masa suka dulu semua masalah yang bakal mendatang tidak dipertimbangkan.Saya setuju juga apa pandangan Dato'Dr Fadhilah Kamsah dalam akhbar hujung minggu lalu agar Kursus Pra Perkahwinan perlu dikaji semula. Agar pasangan lebih bersedia menghadapi kemelut rumahtangga yang mendatang.

Apapun nasihat saya buat diri saya dan para pembaca sekalian, sabar itu amat penting dalam apa juga dugaan yang kita harungi. Disamping ikhtiar dan usaha ke arah pembaikan yang mana kita kena akui semua manusia itu tidak sempurna. Kesempurnaan Hak Mutlaq Allah Taala. Fikirkkanlah anak-anak. Perceraian tidak banyak sedikit pastinya mengganggu emosi dan perkembangan anak-anak. Kecuali perceraian disebabkan kematian.

Sekian......Sabar Itu Indah....segalanya ditangan kita..Ciptalah kebahagiaan bukan menanti kebahagiaan ......



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...