Khamis, 7 Oktober 2010

WANG CARUMAN KWSP BUKAN HARTA SEPENCARIAN

Perpisahan diantara pasangan suami isteri sama ada secara perceraian hidup atau perceraian mati memberi hak diantara pihak suami atau isteri untuk melakukan tuntutan harta sepencarian.

Menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005, “harta sepencarian” ditakrifkan sebagai harta yang diperolehi bersama suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Ini bermaksud semua harta berupa wang, harta alih dan harta bukan alih yang diperolehi selama tempoh perkahwinan adalah termasuk harta sepencarian.

Dalam pengamalan di Mahkamah Syariah, bagi tuntutan harta sepencarian pihak menuntut perlu membuktikan bahawa harta tersebut adalah harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan masih berlaku. Namun mungkin kita tertanya-tanya, adakah wang caruman KWSP pasangan kita termasuk dalam harta sepencarian atau tidak.

Merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-49 pada 10 September 2000 menjelaskan bahawa :

Wang Caruman KWSP si mati tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara secara tidak langsung. Sebaliknya ia adalah harta pusaka yang mesti dibahagi mengikut hukum faraid. Oleh itu KWSP adalah hak milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang itu. Manakala penama KWSP adalah sebagai Wasi atau pentadbir harta sahaja.

Oleh yang demikian bagi pencarum yang ingin memberikan hak wang tersebut kepada pasangan hendaklah membuat wasiat. Sekiranya wang tersebut tidak melebihi satu pertiga dari keseluruhan harta pusakanya maka wang tersebut berhak diperolehi oleh pasangan setelah kematian pencarum. Sekiranya melebihi maka lebihan itu akan menjadi harta pusaka yang perlu dibahagi kepada waris-waris lain.

Satu kaedah lagi yang boleh dibuat dari sedikit pengalaman penulis dalam perundangan Islam ialah dengan mendapat persetujuan dari waris-waris lain agar menyerahkan sebahagian wang caruman KWSP tersebut sebagai hibah kepada si isteri atau si suami yang masih hidup. Sekiranya semua waris bersetuju ianya dapat membantu si isteri atau si suami yang ditinggalkan untuk menampung pembelanjaan harian terutama dalam membesarkan anak-anak setelah ketiadaan pasangan.

Kesimpulannya tuntutan yang berkaitan dengan wang caruman simpanan KWSP supaya diisytiharkan sebagai harta sepencarian adalah bercanggah dengan fatwa yang diputuskan di atas.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hasiah

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...